Nanas dikatakan mempunyai kandungan bromelain enzim dan asid semula jadi (citric, malic dan tartaric) yang agak banyak. Memandangkan keadaan yang demikian maka adalah tidak digalakkan menggunakan nanas terlalu banyak sebagai sajian utama. Sebaliknya pula, minum jus nanas dalam amaun yang sederhana boleh membantu menghadamkan makanan kerana jus nanas hampir menyamai jus gastric semula jadi.
.
Kulit nanas dikatakan mengandungi damar atau resin yang boleh menjadikan kulit gatal dan ruam seperti terkena kulit mangga. Ada yang menyarankan supaya menggunakan sarung tangan apabila memegang dan mengupas kulit nanas.
.
Selain itu, ada pula yang mengatakan nanas yang belum masak tidak boleh dimakan kerana ia mengandungi racun yang boleh menyebabkan radang tekak, muntah-muntah dan cirit-birit.
.
Bagaimanapun, bagi penduduk kampung Banting yang sudah biasa menanam atau berkebun nanas secara kecil-kecilan sejak beberapa generasi, mereka belum pun pernah keracunan atas sebab makan nanas yang belum masak. Mereka menggunakan nanas muda sebagai sayur untuk digulai dan dimakan bersama nasi. Mereka juga tidak pernah mengatakan damar atau resin yang terkandung dalam kulit nanas boleh menyebabkan gatal-gatal dan ruam. Ini mungkin kerana mereka sudah biasa makan nanas sejak kecil lagi.
No comments:
Post a Comment